Redha Allah terletak pada redha ibu-bapa.
Semua orang pernah mendengar ungkapan ini. Namun, berapa kerat yang memahami
tuntutannya? Dan berpada kerat pula yang telah menunaikan tuntutannya? Ibu-bapa
yang telah tua memang menguji anak-anak. Maklumlah, akalnya sudah lemah,
pertimbangannya jadi singkat. Kerenah orang tua sangat menguji anak-anak.
Berapa
ramai yang menganggap ibu-bapa yang telah tua sebagai satu liabiliti dalam
kehidupan kita. Pada hal mereka sebenarnya adalah satu aset yang sangat
berharga dalam kehidupan kita. Menjaga ibu-bapa yang telah tua, bersabar dalam
menghadapi kerenahnya sesungguhnya akan membuka pintu kerahmatan dan keberkatan
daripada Allah swt.
Ingatkah
lagi kita tentang satu hadis panjang yang menceritakan kepada kita bagaimana
tiga orang lelaki terperangkap dalam sebuah gua? Masing-masing memohon
pertolongan daripada Allah melalui perantaraan (tawassul) amalan mereka. Salah
seorang lelaki tersebut telah memohon kepada Allah melalui perantaraan
amalannya yang berbakti kepada orang tua… dan pintu gua itu tergeser,
petanda bantuan Allah tiba kerana amalannya terhadap orang tua.
Mengapa
tidak kini kita gunakan kaedah yang sama? Bukankah banyak permasalahan dan
beban hidup yang berat sedang atau akan kita tanggung? Salah satu kaedah untuk
mengatasi dan menangani masalah tersebut ialah dengan berbakti kepada orang tua
dan menjadikan kebaktian tersebut sebagai perantaraan berdoa kepada Allah.
Dengan syarat kita berbuat demikian dengan hati yang ikhlas.
Berapa
ramai penulis yang “terbantut” idea dan mindanya, lalu dia
mengangkat tangan berdoa kepada Allah melalui perantaraan ketaatannya kepada
ibu-bapanya? Atau ahli perniagaan yang dilanda masalah hutang atau merudumnya
jualan, lalu istirahat seketika lantas berdoa meminta bantuan Allah melalui
budi-baiknya terhadap ibu-bapa? Atau ahli politik yang diserang kiri dan kanan
oleh musuh politiknya, mengambil sedikit masa untuk bermunajat kepada Allah
melalui amalan baik terhadap kedua ibu-bapanya?
Ingatlah,
ibu-bapa yang tua itu adalah satu aset. Kesusahan, kejemuan dan kebimbangan
kita sewaktu menjaga mereka sebenarnya adalah mahar kepada sebuah ketenangan,
keberkatan dan kejayaan dalam kehidupan. Namun sebaliknya, jika mengabaikan
mereka itulah yang akan membuka kepada pintu kehancuran, keresahan dan
kegagalan. Benar seperti yang pernah didendangkan oleh lagu lama, “ayah
dan ibu wali-wali keramat.”
Ibu-bapa
memang “wali keramat” kerana meminggirkan mereka (apatah lagi kalau
sampai ke tahap menderhakai mereka) akan menyebabkan hidup kita terhijab
(terhalang). Bukan sahaja kita orang awam ini, bahkan orang-orang Soleh
sekalipun jika tersalah laku dengan ibu-bapa akan menerima padahnya. Lupakah
kita kepada Juraij, seorang yang amat soleh (rajin uzlah dan beribadah) tetapi
tertimpa malapetaka fitnah kerana tidak disenangi oleh ibunya.
Gara-gara
begitu asyik dengan solat sunat, Juraij tidak menyahut panggilan ibunya. Ibunya
sungguh terasa hati menyebabkan dia berdoa agar Juraij ditimpa fitnah. Benar,
tidak lama kemudian Juraij difitnah berzina dengan perempuan jahat menyebabkan
dia dihina dan disakiti oleh penduduk-penduduk setempat. Itulah bahananya
mengecilkan hati ibu. Justeru, dari segi hukumnya, ajaran Islam menetapkan
seseorang yang sedang bersembahyang sunat wajib menyahut panggilan ibunya
setelah tiga kali panggilan itu diulang. Kenapa? Padahal solat itu hubungan
dengan Allah, sedangkan menyahut panggilan ibu bapa itu hubungan sesama
manusia? Apakah hak manusia lebih besar daripada hak Allah?
Tidak,
bukan begitu. Sebenarnya itu didikan daripada Allah jua, agar seorang anak
menjaga hubungan dengan ibu-bapanya semasa berhubung dengan Allah. Taat kepada
Allah dan berbuat baik kepada kedua ibu-bapa ada kalanya dirangkaikan dalam
ayat-ayat tertentu dalam Al Quran. Ya, jangan sampai mengejar cinta Allah,
dengan mengabaikan cinta terhadap ibu-bapa. Yang setepatnya ialah cintailah
ibu-bapa kerana mencari cinta Allah!
Bayangkan
jika manusia sesoleh Juraij pun boleh ditimpa kesusahan kerana kesalahan yang
boleh dikatakan kecil (berbanding kederhakaan anak-anak zaman ini) terhadap
ibunya, apalagi kita. Kebaikan kita tidaklah setinggi dan sebanyak Juraij,
sebaliknya kesalahan kita terhadap ibu-bapa kita lebih banyak daripadanya…
Bila-bila sahaja kita boleh ditimpa malapetaka akibat kederhakaan ini. Dan
mungkin kita tidak sedar, malapetaka itu telah pun menimpa kita.
Intai-intai
dan telitilah kembali jalan hidup yang telah, sedang dan akan kita susuri ini.
Berapa banyak halangan dan hambatan yang datang melanda. Berapa banyak kali
kita kecundang? Apa yang dirancang kekadang sering tidak “menjadi”.
Malang dan bencana datang timpa menimpa. Dicari sebabnya, dikaji puncanya,
seakan-akan tidak terjumpa… mana tahu semuanya bahana derhaka kepada
kedua ibu-bapa.
Dosa
kita pada yang lain masih adalah istilah nanti dan tunggu. Tetapi dosa kepada
ibu-bapa akan dibalas segera dan tiba-tiba. Sesetengah orang, hanya kerana dia
telah menghulurkan bantuan ratusan malah ribuan ringgit sebulan kepada
ibu-bapanya, dia telah menunaikan tanggungjawab… Jadi apabila ibu-bapanya
“bersuara” sedikit, sudah berani dia membentak. Apa yang tidak
cukup lagi? Apa lagi yang ibu hendak? Apa lagi yang bapa tidak puas hati?
Ingatlah,
wang ringgit dan harta benda tidak akan mampu membalas jasa atau menebus bakti
kedua orang tua kita. Bukan semua perkara dalam kehidupan ini boleh dibeli.
Banyak perkara-perkara penting dalam hidup ini tidak boleh dinilai oleh
kuantiti material dan fizikal yang kita ada. Antaranya, jasa dan bakti kedua
ibu-bapa. Ia hanya boleh “dibayar” oleh kualiti jiwa bukan kuantiti
harta.
Maksudnya,
budi hanya dapat dibayar oleh budi. Jasa dengan jasa. Budi baik dan akhlak kita
yang cantik sahaja dapat menyenangkan hati orang tua pada usia senja mereka.
Layani mereka dengan baik, dengarlah cerita mereka (walaupun telah diulang
berkali-kali), duduk berbual dengan mereka, membelai atau mengurut badan mereka
dan yang paling penting sering menziarahi dan sentiasa berdoa untuk mereka.
Jangan
lupa, satu hari kita juga akan melalui apa yang sedang lalui kini. Kita akan
mencecah gerbang tua dan mengecap sisa-sisa umur dengan payah dan lelah seperti
mereka… bagaimana kita saat itu? Tentukanlah nasib kita itu pada hari
ini. Bagaimana? Taat, layan dan belai dengan penuh kasih sayang orang tua kita
pada hari ini, insya-Allah anak-anak kita akan mengamalkan sikap yang sama
terhadap kita pada akhir nanti.
Cerita
dan nasihat ini bukan pertama kali kita dengar… tetapi semuanya diulang
lagi kerana kita sering mengabaikan apa yang sering kita dengar. Kita sering
menjadi umpama kelekatu yang melanggar lampu yang bercahaya sedangkan di
bawahnya sudah begitu banyak kelekatu lain yang terkorban. Berapa banyak ikon
anak derhaka dalam cerita rakyat seperti Sitanggang mahupun Malim Kundang yang
kita benci dan caci, ironinya kita menjejak mereka tanpa kita sedari.
Sudah
dianggap derhaka dengan mendecit perkataan “ah” kepada kedua
ibu-bapa. Sudah dianggap melupakan mereka jika kita tidak mendoakan mereka
selepas setiap kali mengerjakan solat. Sudah mengecilkan hati mereka jika sudah
lama kita tidak menelefon ataupun menziarahi mereka di kampung… Oh,
terlalu banyak kesalahan kita terhadap mereka. Dan apakah ini telah menyebabkan
tertutupnya pintu kerahmatan dan keberkatan?
Rezeki
banyak, tetapi tidak puas. Umur panjang, tetapi dipenuhi dosa. Masa lapang,
tetapi hilang manfaat. Kesibukan yang memanjang, keresahan yang tidak
berpenghujung mungkin sedang berlaku dalam hidup kita. Anak-anak degil. Isteri
atau suami semakin degil dan tidak serasi… Apakah ini semua kerana dosa
kita terhadap orang tua? Apakah Allah sedang murkakan kita?
Jika
anda bertanya begitu, sila ulang baca ayat pertama pada awal tulisan ini!
Share dr blog Ustaz Pahrol
No comments:
Post a Comment